CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Thursday, July 19, 2012

kerana dia tinggi di angkasa raya. part 2

“Hari tu aku tanya nak kahwin dengan kau, kenapa kau tak jawab?” soal Fazrul Naim sebaik sahaja terlihat kelibatku yang masuk ke dalam wadnya. Seperti biasa, aku memeriksa tekanan darah beserta menyediakan ubat yang harus dia ambil dan meletakkan di atas meja sisi katilnya. Aku cuba untuk tidak mempedulikan pertanyaan Fazrul Naim sebentar tadi.

“Eh kau dengar tak apa aku cakap ni?”

“Saya tak ambil serius pun.” Jawabku acuh tak acuh.

“Aku seriuslah!” tegasnya kembali.

“Jangan main-main boleh tak? Saya ada kerja lagi ni. Kalau pihak atasan nampak nanti, kata saya curi tulang  pulak bersembang dengan patient lama-lama…” aku membalas keras.

“Isy dia ni…”

“Apasal nak ajak saya kahwin? Tak takut ke saya ni bini orang ke? Tunang orang ke? Girlfriend orang ke? Main langgar je awak ni. Sodok tak pakai helmet.  Macam mana tu?” bertubi-tubi aku memuntahkan pertanyaan padanya! Geram!

“ Kalau girlfriend dengan tunang tu, aku tak takut lagi lah Cik Imaan. Sedangkan kapal terbang pun orang boleh hijack, ape lagi setakat tunang? Kot bini orang tu surrender la. Tapi aku yakin kau belum jadi bini orang.”

“Mana tahu? Memandai je!”

“Sebab aku tak nampak kau pakai cincin pun kat jari kau? Ha nak tipu aku ke?” duganya. Selepas itu dia tergelak-gelak sendiri.

Tak padan dengan kepala berbalut, ada hati nak ajak aku kahwin! Dah la kasar, manners tak ada, kuat mengusik. Menyampah aku! Gila lurus bendul dia ni fikir. Asal tangan bercincin je mesti dah jadi tunang, bini orang. Mentang-mentanglah jari aku kosong je. Hisyy…

“Taknak.” aku mengemas perkakasku dan segera keluar berlalu.  Tak lama kemudian, aku sendiri tersenyum sendirian. Kelakar betul, soal cincin pun jadi isu ke? Hahah!

Imaan, kau memang sesuatu. Magnet apa yang kau pakai ni? Aku rasa pelik evrytime depan kau. Dan wajah kau sangat mengingatkan aku pada seseorang bila aku tenung lama-lama. Macam pernah kenal sebelum ni. Tapi entahlah kat mana, agaknya sebelum ni kau pernah datang dalam mimpi aku agaknya, offer diri jadi bini aku kot? Hehehe… tengoklah, aku akan confirmkan nama kau yang akan aku sebut time aku lafaz akad nikah nanti!

*             *             *

Hampir  3 bulan telah berlalu, aku tidak bersua lagi dengan Fazrul Naim. Genap sebulan dia berumah tangga di hospital, doktor memberikan kebenaran untuk dia pulang. Aku tidak merasa kehilangan, cuma sedikit terkilan kerana sewaktu dia meninggalkan hospital ketika itu aku sedang bercuti, jadi aku tidak sempat mengucapkan selamat jalan kepadanya. Bukan rasa jatuh hati, walaupun ku rasa dia agak menjengkelkan hatiku, namun dia antara pesakit dibawah jagaanku untuk tempoh masa yang agak lama. Ingatkan sempat lah kot nak melambai-lambai, gaya lambaian terakhir seorang primadona ke kan… Ah sudah Imaan Tihani, stop being that ridiculous!

Susuk tubuh sebagai seorang pegawai TUDM,Fazrul Naim cukup mengingatkan aku kepada Abang Taufiq. Ya, Kapten Izzuddin Taufiq. Arwah abang kandungku. Satu-satunya abang yang aku ada, juga anak lelaki tunggal dalam keluargaku. Dia seorang bekas juruterbang TUDM.  Melalui rekod perubatan yang kulihat sewaktu mula-mula menerima fail pesakit yang bernama Fazrul Naim, dia seusia abang Taufiq seandainya arwah abangku itu masih hidup.

Abang… dia gugur sebagai perajurit Negara. Kejadian yang menimpa Fazrul Naim, sungguh membuatkan rinduku pada Abang Taufiq kian mencengkam. Arwah abang terkorban kerana kecelakaan sewaktu membuat pertunjukan udara semasa Pameran Aeroangkasa dan Maritim Langkawi (LIMA). Dia menerbangkan Pilatus PC-7 juga dan pesawatnya terhempas berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, kira-kira 3 tahun lepas.

Aku akui, berat bagiku untuk menerima hakikat pemergiannya. Kami amat rapat. Abang, dia gemar sekali mengusikku. Aku teringat beberapa bulan sebelum dia pergi meninggalkan aku buat selamanya…

“Hani, nanti bila sampai masanya, abang kenalkan Hani dengan kawan baik abang. Nak tak? Confirm dia berkenan punya dengan Hani nak buat bini dia! Hehehe…” gurau abang Taufiq. Ketika itu aku baru sahaja menamatkan diploma kejururawatanku disebuah universiti di ibu kota.

“ Kawan abang tu handsome tak? Kalau muka macam Fizz Fairuz ke, Shaheizy Sam ke.. Hani nak lah. Kalau hitam, main panas macam abang ni Hani taknak, tak handsome! Wekkk” aku menjelir lidah kepada abang Taufiq. Abang tergelak kecil melihatkan aku.

“Mestilah handsome, macho, smart bergaya macam abang. Hehehe! Kawan abang tu baik orangnya Hani.  Kalau boleh, biarlah kalau katakanlah abang mati nanti tak sempat nak jaga Hani dan adik-adik, abang percaya nak amanahkan Hani, adik-adik dan mak ayah pada kawan baik abang tu. Tapi syarat dia kena jadi adik ipar abang dulu lah! Amacam? Cun kan cadangan abang?” ujar abang Taufiq.

“Hisyy.. abang ni cakap pasal mati-mati pulak. Hani tak suka lah dengar. Abang kena hidup sebab kena jaga Hani dengan family kita. Deal?” aku memintas kata-kata abang.

“ Bulan 9 ni abang ada LIMA kat Langkawi. Abang dengan kawan baik abang nanti akan buat pertunjukkan udara masa pameran tu berlangsung. Nanti Hani datanglah Langkawi, boleh abang kenalkan kawan abang pada Hani, okay?” abang menggosok-gosok kepalaku.  Habis serabai dah rambut aku. Aku mengangguk tanda teruja.
Ya… pertunjukan udara itulah yang telah meragut nyawa abangku. Ajal abang telebih dahulu datang menjemput. Dan ketika aku ke sana untuk bertemu abang Taufiq dan rakannya itu, berita kematiannya terlebih dahulu sampai kepadaku sebelum kukhabarkan kepada keluargaku untuk menguruskan jenazah abang  di bawa pulang ke kampung. 

Rakan baik abang? Dia terselamat dari nahas tersebut. Namun aku tidak mengenali siapa dia. Kata Mak, sewaktu jenazah abang dibawa pulang ke kampung, rakannya itu dikejarkan ke Hospital kerana cedera dan tidak sedarkan diri. Dia tidak sempat menghadiri pengebumian abang untuk memberikan penghormatannya yang terakhir sebagai seorang sahabat... namun Mak pernah memberitahuku, adakala rakan abang itu ke rumah, menziarahi Mak dan Ayah serta pusara abang.

Jauh mengelamun, aku tidak sedar hingga aku disergah SN Farah yang mahu mengajak aku keluar makan tengahari.  Abang, Hani rindu abang. Ada masa,nanti Hani balik ‘jenguk’ abang… desis hatiku.

*             *             *
“Apasal menung je tadi aku tengok kau, Hani? Berangan teringat boyfriend ke? Mustahil. Kau mana ada boyfriend. Hehehe…” Kata Farah sewaktu aku mahu menyenduk nasi dan melihat-lihat lauk pauk yang disediakan di kafeteria hospital. Aku tersenyum ke arahnya sambil menatang pinggan berisi nasi.

“Aku teringat arwah abang aku la, Farah. Entahlah, ingat tak lagi dulu kita ada patient yang pilot airforce pesawat jatuh terhempas tu? Aku terus teringat kat abang aku. Arwah abang aku dulu meninggal sebab lebih kurang macamtu la. Masa dalam perkhidmatan.” aku bercerita semasa kami duduk dan memesan minuman. 

“Ooo…patutlah. Ingat je dia tu. Kak Za cakap dia ramah, kuat mengusik nurse kat sini. Eh tapi bukan ke dah lama la patient tu discharge? Apasal pulak boleh teringat tiba-tiba ni?” soal SN Farah.

“Random.” Aku menjawab pendek.

“ Tapi kau nak tahu cerita tak?”

“Cerita apa?”

“Masa hari dia discharge tu, dia ada cari kau juga. Kira masa dia nak balik tu, dia jumpa lah semua nurse, staff nurse, MA dengan doktor yang jaga and rawat dia selama dia kat sini. Kira nak berterima kasih lah macam tu…”

“Ohhh.” Aku terdiam sebentar. 

.
.
.
.
.

BERSAMBUNG...

Tuesday, July 17, 2012

kerana dia tinggi di angkasa raya. part 1

“Hani, patient dalam Wad 301 tu collapse. Dr Amilia panggil. Cepat!” gesa SN Noraniza kepadaku. Aku yang baru sahaja mahu duduk menghirup kopi buatanku terpaksa bergegas meluru ke arah wad yang dimaksudkan. Sebagai jururawat yang bertugas pada malam itu, aku memang sudah biasa dengan senario seperti itu.

 Masuk sahaja ke dalam wad kelas satu yang berhawa dingin itu, aku menyelakkan tirai yang melindungi dia dari pandangan pesakit di sebelah. Kelihatan Dr Amilia bersama SN Farah Dyanna sedang berdiri di tepi katil dan memeriksa pesakit itu. Keadaan kepalanya berbalut, dan terdapat kesan calar balar dimuka dan seluruh badannya. Kaki kanannya bersimen.

Denyutan jantungnya terhenti tiba-tiba. Skrin ECG menunjukkan bacaan yang menandakan dia mengalami ventricular fibrillation (VF). Dr Amilia mengarahkan aku bersedia dengan defibrillator dan melakukan shock serta CPR. Keadaan pesakit stabil kembali. Aku keluar dari wad dan melangkah menuju ke arah SN Noraniza yang sedang meneliti fail laporan pesakit.

“Siapa tu Kak Za? Semalam masa syif Hani, tak ada pun patient tu? Macam teruk juga.” Ujarku kepada SN Noraniza.

“ Aah. Malam semalam attended kat emergency department.  Akak dengar cerita dia tu tentera. Airforce. Kapal terbang yang dia bawak terhempas sebab tak sempat buat pendaratan kecemasan.  Mujur tak ada internal bleeding atau organ dalaman yang cedera. Dia kira nasib baik lah tu. Yang nampak teruk pun cedera kt kepala tu. Tapi sampai sekarang belum sedar.” Bersungguh SN Noraniza menerangkan kepadaku. Aku mengangguk.

“Pilot ye kak?”

“Dah dia yang bawak, pilot le tu kan?”

Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Ye tak ye jugak kan. Terlahir simpatiku kepadanya. Namun bagaimana sekalipun keadaannya, sudah menjadi tugasku untuk melakukan yang terbaik bagi membantu proses penyembuhannya selama mana dia berada di sini.

Mindaku tiba-tiba teringatkan Abang Taufiq. Abang juga seperti dia…

* * *

Agak lama tubuhnya menjadi penghuni wad 301. Hampir 4hari baru dia tersedar dari pembaringannya. Saban hari ada sahaja kunjungan buatnya, terutama sekali pada malam kedua selepas kejadian berlaku. Setiap hari aku dengan setianya melakukan tugasanku, mengawasi keadaan pesakit, termasuklah dia.

Kapten Fazrul Naim Ahmad Suffian. Itulah namanya. Nama juruterbang yang nyaris maut semasa menerbangkan Pilatus PC-7 dalam operasi latihan dan pesawatnya itu terhempas ke dalam gaung di kawasan perhutanan Pahang. Berita tentang nahasnya itu termuat  didada kebanyakan akhbar tempatan dan ramai mengatakan bahawa nasibnya baik kerana masih terselamat dalam kejadian mengerikan tersebut. Bagiku, ajal maut itu semua rahsia Allah, jika belum sampai saatnya, sekalipun kondisi pesakit di tahap paling kritikal, umurnya akan tetap ada.

Aku menghampiri birai katilnya untuk memeriksa keadaannya. Kelihatan dia sedang tidur. Sambil membetulkan tiang drip bottlenya, ku terasa tanganku tiba-tiba disentuh. Aku kaget dan terus menampar dan menepis tangannya ke tepi dengan spontan. Dia mengaduh kesakitan.

“Aduh, sakitlah nurse! Kasarnya awak ni!” Fazrul mengaduh sakit sambil menggosok-gosok pergelangan tangannya.

“Err, maafkan saya encik…”

“Apa encik-encik? Panggil Tuan! Faham?”

“Er.. ok..tuan, maafkan saya. Saya terkejut tuan pegang tangan saya. Sebab tu saya tepis tangan tuan. Maaf tak sengaja. Sakit ye Tuan?” aku yang geram bercampur gementar cuba untuk berkompromi dan memujuk. Memang lah agak kuat aku tolak. Tapi siapa suruh dia pegang tangan aku tiba-tiba? Mahunya aku tak  terkejut! Nasib lah… dan lah tak sopan genggam tangan aku punya kuat!

“Sakit lah! Aku nak lapor kat atasan kau. Siapa nama kau? Oh Imaan ye?” matanya terus dilarikan ke arah tanda nama yang ku sematkan didada. Aduh mati! Gerutuku di dalam hati. Tak sempat nak cover nametag pulak! Ahh… tapi nak takut apa, dia yang takde manners nak pegang-pegang tangan aku. Sexual harassment betul!     

“Tuan, saya tak berniat sengaja pun nak tolak tangan tuan tadi. Terkejut. Lagipun tuan main pegang je tangan saya, ingat saya ni apa?” aku cuba mempertahankan diriku dari cubaan dia mahu menakut-nakutkan aku. Nak lapor pihak atasan? Laporlah! Hek eleh, dia ingat dia pegawai sekalipun, aku nak heran agaknya?

“Ish kau ni, comel pulak bila tengah marah. Tak jadi lah nak report. Nasib baik kau comel. Sakit aku ni pun dah hilang sikit. Hehehe. Aku nak tegur kau je, bukan ada niat apa pun. Apa kau ingat aku nak cabul kau ke? Tolong sikit.” Fazrul berkata dengan sinis dalam nada separuh mengusik. Ish dia ni, nasib baiklah patient, dalam waktu bekerja lagi ni, ada lagi etika bekerja yang aku kena ikut… kalau tidak, memang mata dia yang tak bengkak tu rasa macam nak tumbuk barang sebijik dua.

“Hmmm… apa-apalah tuan ni. Kalau nak tegur saya, nama saya ada. Boleh je panggil. Kalau tidak buang tenaga je saya susah payah pakai nametag lawa-lawa ni? Takpun panggil je nurse. Boleh je kan?” aku membalas sambil menuangkan ubat yang harus diambilnya ke dalam tray. Aku malas berlama-lamaan di situ, makin dilayan, makin galak dia nak mencabar kesabaranku.

“Ala nak panggil apa? Aku mana tahu nama kau apa? Sekarang dah tahu lah. Imaan. Cantik nama.” Sengih Fazrul Naim. Aku senyum tawar memaniskan muka. Padahal tak ikhlas langsung!

“Eh kau ni senyum tu biar ikhlas sikit, patient yang sakit macam aku ni cepat sikit baik!” makin giat dia mengusik. Eh tuan kapten sorang ni memang mintak penampar aku gamaknya! Aku segera menyudahkan pekerjaanku dan mahu berlalu dari situ dan keluar dari wadnya.

“By the way Cik Imaan, nama penuh aku Fazrul Naim Ahmad Suffian! Tu nama dalam IC, dalam BatC10 aku!” dia melaung dari jauh saat aku meninggalkannya. Aku tarik muka, eleh, sempat lagi tu. Ingat aku taktahu ke nama kau apa? Dari mula kau tak sedar sampai dah sedar, ulang alik aku yang monitor kau. Menipu sangat kalau aku tak tahu nama dia… hisy! 

* * *

Beberapa hari kemudian, aku bertugas seperti biasa. Masuk ke kamarnya menjalankan tugasku. Kali ini dia tidak tidur. Ku lihat dia sedang bebaring, sambil menalakan pandangannya ke arah jendela yang separuh ditutup dengan bidai. Dia nampak lebih sihat, mesikpun dahinya masih lagi berbalut dan kakinya yang bersimen membataskan pergerakkannya.
Dia tidak menyedari akan kehadiranku disitu.

“Nak saya selak habis tirai tu ke? Selak separuh je? Nampak ke?” tegurku memulakan bicara. Dia berpaling dan tersenyum lantas menangguk. Nampak lebih warm daripada tempohari yang agak menjengkelkan. Aku bergerak ke tingkap dan membuka bidai lebih luas sementara dia cuba bangun sambil membetulkan duduknya.

“Kau tak marah aku pasal hari tu kan?” tanyanya.

“Marah sikit. Tapi okay. Saya bukan jenis berdendam. Cuma jangan buat dah lepas ni. Saya tak suka.”

“Ha okay, good. Tak marah takpe. Cool lah macam tu. Hehehe.” Sengihnya. Tersengi-sengih, macam apa dah lagi dia ni. Sabar jelah aku!

“ Tapi saya masih menuntut permohonan maaf tuan sebab pegang saya tanpa izin hari tu.” aku menambah.

“ Haih, baju kau tu kan lengan panjang, berlapik lagi aku pegang. Demand betul kau ni. Okay yelah aku mintak maaf. Sorry okay. Ikhlas ni. Dah lah tak payah panggil aku tuan. Panggil Fazrul sudah. Gentleman kan aku?” ujarnya sambil mengangkat-angkatkan keningnya.

Aku menjeling, memang sah lapar penampar aku lah dia ni! Kuat perasan! Menyampah! Mintak simpang dapat bakal suami macam dia ni! Aku menukar saline drip bottle yang hampir kosong sambil ekor mataku menyedari yang dia masih memerhatikanku.

Hari-hari aku pandang muka kau. Tapi 3,4 hari lepas baru tahu nama. Imaan. Orang dah comel, dapat buat bini memang style. Dalam banyak-banyak nurse, dia ni lah yang paling kuat aku usik. Sabar pulak dia tu. Bagus-bagus. Ada ciri-ciri isteri mithali ni.

“Tuan ada apa-apa lagi…”

“Haip… haip…haip… apa aku suruh kau panggil aku tadi?”

“Opps, maaf. Ok Fazrul ada apa-apa lagi yang nak saya buat? Ubat dah saya letak kat atas tu, nanti lepas attendan serve lunch, makanlah ubat ye.” Aku mahu cepat-cepat keluar dari biliknya, malas nak melayan. Banyak bunyi pulak abang askar ni.

“Ha ada!”

“Apa dia?”

“Imaan, kahwin dengan aku nak?”

Aku terus keluar dari biliknya. Gila! Dah accident hari tu, gamaknya putus fius agaknya!  Aku nak balik sembahyang hajat,mintak doa tolak bala dari jadi bini kau. Uihh… tak rela aku!

.
.
.
.
.

BERSAMBUNG...

Friday, June 22, 2012

Hakikat Seorang Wira Samudera

 (SEMPENA MENYAMBUT HARI TENTERA LAUT DIRAJA MALAYSIA YANG KE 78)

“Abang pergi tak lama, sayang. Sue tunggu abang balik ya. Jagakan Imran buat abang. Sue pun kena jaga kandungan dan kesihatan baik-baik. Insya-Allah Abang akan selalu kirim khabar dan telefon Sue untuk tanya khabar keluarga dan anak-anak nanti.” Aku mengucup dahi Suhaily dan anakku Syafiq Imran, lantas memeluk kedua-duanya kedalam dakapanku.

“Sue akan kuat demi Abang dan anak-anak. Insya-allah, Sue doakan Abang selamat pergi dan selamat pulang. Sue dan anak-anak akan tunggu Abang balik.” Kulihat bibir Suhaily bergetap menahan tangis. Masih jua menggagahkan dirinya untuk tersenyum dihadapanku.

Sungguh, berat bahagian hatiku yang bergelar ayah dan suami ini untuk pergi meninggalkan isteri yang sedang hamil 3 bulan beserta anak yang baru mula pandai berjalan jatuh itu. Namun apalah dayaku, dalam masa yang sama..tanggungjawabku terhadap negara turut terpikul di atas bahu ini. Semua demi kehendak perkhidmatan,tuntutan amanah ibu pertiwi serta hidupku menjunjung cogankata yang satu, Sedia Berkorban. Lalu aku kuatkan jua.

***

Jam ditanganku hampir pukul 0400H. Aku baru sahaja selesai ‘radar shift’ bersama anak buahku serta seorang pegawai, Lt. Faisal lalu mereka mengajak aku untuk minum kopi bersama. Namun pelawaan mereka kutolak secara baik, cadangnya aku mahu bersendirian melepaskan lelah. Aku melangkah menuju ke buritan kapal untuk merenung gumpalan buih yang terhasil daripada pintalan propeller. Mencium bau laut yang sebati menjadi kehidupanku. Suatu senyuman tersungging dari bibirku. Indah dan menenangkan. Aku duduk lalu mengeluarkan sepucuk sampul surat yang baru sahaja ku terima tengahari tadi. Namun ketika itu, aku masih belum sempat membacanya.

Sambil ditemani bulan yang terang, aku membuka sampul kiriman Noor Suhaily bt. Sulaiman itu perlahan-lahan. Ku tarik isinya berhati-hati. Ada sepucuk surat beserta dua keping gambar yang kuterima. Tak semena-mata pelupuk mataku terasa mahu bergenang, satu foto Suhaili beserta Syafiq Imran dipangkuannya, kuyakin itu gambar terbarunya kerana kulihat anakku itu sudah besar sedikit daripada sewaktu aku meninggalkan dia bersama ibunya. Sekeping foto lagi, gambar seorang bayi perempuan yang comel yang ku agak baru berusia hampir sebulan.

Lantas kubaca isi surat itu.

Kehadapan suamiku yang dirindui, Sue mendoakan Abang moga selamat dan sejahtera di bumi Itali sana. Agaknya sudah berapa kali Abang nyatakan yang Abang rindukan masakan air tangan Sue, bukan lagi tiap hari disajikan dengan pasta mahupun pizza yang Abang sudah muak itu.

Abang,

Ini surat kali ke-10 yang Sue tuliskan buat Abang. Sue dan anak-anak serta keluarga di sini sihat semuanya. Untuk pengetahuan Abang, Sue sudah selamat bersalin secara normal pada 7 Jun lepas, jam 4.25 pagi. Alhamdulillah, zuriat kita yang kedua kali ini perempuan, bang. Mata dan hidungnya persis milik Abang. Mengikut sunnah hari ke-7, Sue namakan anak kita Syazreen Imanina bt. Ikhmal. Semua urusan pendaftaran kelahiran diuruskan adik Abang, Ikram sepertimana yang Abang amanahkan. Semuanya telah selamat dan lancar. Sue masih dalam tempoh berpantang, namun Sue tetap menulis surat untuk Abang dan mengirim foto Syazreen untuk tatapan Abang di sana. Sue berharap…

Pembacaanku terhenti apabila CPO Ahmad Hisyam menegurku. Segera ku mengelap air mata yang hampir tumpah tatkala membaca surat kiriman isteriku. Enggan ketara sekali ternampak dek anak buahku yang aku sedang merindui anak, isteri serta kampung halaman.

“Eh Tuan, buat apa duduk kat sini sorang-sorang? Melayan perasaan ke?” gurau CPO Hisyam.

“ Yelah chief… saya baru habis ‘radar shift’ tadi dengan Lt. Faisal dan PO Latif, diorang pergi minum kopi tapi saya datang duduk kat sini sambil baca surat isteri saya kirim. Feeling sekejap lah jawabnya. Isteri saya baru bersalin anak kedua kami,” balasku sambil tersenyum.

“Oh, tahniah Tuan! Memang rasa nak cepat-cepat balik je kan tengok anak dan isteri, Tuan? Sabarlah, kita pun dah tak lama nak balik. Saya pun rindu masakan isteri saya dah ni Tuan. Tahap kempunan dah ni..” CPO Hisyam menepuk bahuku perlahan. Ku rasakan CPO Hisyam mampu meneka isi hatiku kerana dia jauh lebih berusia dariku, sudah lama berada dalam perjawatan Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia dan pastinya sudah lebih banyak melalui pengalaman meninggalkan keluarga tercinta demi kewajipan tugas.

“Tak apalah, nak buat macam mana. mujurlah tugas kita disini hampir selesai. Dalam dua bulan lagi kita bakal berangkat ke tanah air semula. Harapnya semoga Allah permudahkan urusan kita.” ujarku.

Sue… Abang rindukan Sue dan anak-anak. Nantikan Abang. Desis hati kecilku.

***
Pagi itu, lebih kurang 2 jam sahaja lagi KD Laksamana Tun Abdul Jamil bakal tiba di Jeti Pangkalan TLDM Lumut. Aku dimaklumkan ada majlis sambutan besar-besaran bagi menyambut ketibaan kedua-dua kapal korvet KD Laksamana Hang Nadim dan KD Laksamana Tun Abdul Jamil. Kapal yang ditugaskan dalam skuadron korvet ke-24 milik TLDM ini adalah Korvet Kelas Laksamana yang dibangunkan hasil kepakaran Ficantieri, Breda dan Marghera yang berasal daripada Itali telah digunakan oleh flotila serangan TLDM yang asalnya dipesan Tentera Laut Iraq pada tahun 1981 dan diambil alih oleh Kerajaan Malaysia.

Aku merupakan sebahagian anggota TLDM yang telah dihantar ke Itali untuk menjadi warga perintis KD Laksamana Tun Abdul Jamil ini setelah Kerajaan Malaysia menyatakan hasrat mahu mengambil alih kapal ini pada Oktober 1995 setelah PBB mengenakan sekatan terhadap Iraq akibat Perang Iran-Iraq yang telah tercetus. Setelah beberapa ‘project team’ dihantar ke Itali terlebih dahulu dan proses ‘refit’ di Muggiano barulah aku bersama sekumpulan yang lain menyusul berangkat ke sana pada Julai 1996, setelah termeterainya kontrak pembelian kapal tersebut untuk latihan selama tiga bulan di Itali dan beberapa buah negara dalam pelayaran pulang ke Malaysia yang memakan masa hampir setahun sehingga September 1997.

“Jauh termenung Tuan!” lamunanku terhenti dek terkejut sergahan CPO Hisyam. Aku yang berdiri di anjungan melaung ke arahnya.

“Secantik-cantik negeri orang, tempat sendiri juga yang kita rindu. Tak sabar bila kapal ini mula menghinggap tebing Jeti Lumut sebentar lagi.” ujarku kepada CPO Hisyam.

“Betul tu, Tuan. Biarpun kita dah merasa keadaan iklim 4 musim semasa kita berada di Itali dahulu, tetapi nikmatnya tetap tidak sama. Oh ya, Tuan sejam lagi kita akan masuk base. CO dah beri arahan supaya semua anak kapal bersedia, kerana sebaik sahaja isyarat kita memasuki kawasan pangkalan, kita diarah untuk berbaris di atas geladak dan memberi tabik hormat.” Kata CPO Hisyam.

“Ya, semalam saya diberitahu tentang itu oleh Lt Faisal. Terima kasih Chief.” Tokokku kemudian.

***

Kapal memasuki perairan Pangkalan TLDM Lumut lebih kurang jam 11.30 pagi, ketika itu anak-anak kapal semuanya sudah bersiap sedia berbaris di atas geladak. Terdengar satu das tembakan peluru berbunyi, laungan ‘Gempur Wira’ berserta tabik hormat berkumandang menggegar samudera raya. Oh pesisir pantai ibu pertiwi…aku sudah kembali untukmu.

Sebaik sahaja sauh diturunkan, anak-anak kapal turun ke jeti dan disambut meriah oleh anggota-angota TLDM yang terdiri daripada LLP sehinggalah pegawai serta kehadiran Laksamana Madya yang memerintah armada Pangkalan TLDM Lumut juga turut ada. Setelah bersalaman dengan beberapa anggota serta pegawai, aku meluru ke arah khemah ahli keluarga para anak kapal yang sudah sedia menanti ketibaan kami sejak awal pagi lagi.

Kelihatan belahan jiwaku sedang memangku puteri kecilku, Syazreen beserta seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun setengah sedang duduk bersebelahan ibunya. Imran, Ayah rindu padamu nak. Perlahan-lahan aku menghampiri Suhaily. Dia yang tergamam melihatku terus bangun dan tangan kanannya meraih jari-jemariku lantas menciumnya sementara tangan kirinya mengendong Syazreen. Aku mendukung Syafiq Imran.

“Assalamualaikum, Abang. Selamat pulang wira samudera Syafiq Imran. Sue terlalu rindukan,Abang…” Suhaily bersuara. Aku gagal menahan sebak, lantas kumenarik mereka bertiga ke dalam dakapanku. Kami empat beranak berpelukan. Tiada yang lebih membahagiakan dari saat-saat ini yang setelah sekian lama kunantikan.

“Waalaikumsalam sayang. Ya, Abang juga rindukan Sue dan anak-anak.” Tiada kata lagi yang mampu kuucapkan melainkan syukur kerana aku selamat kembali kepangkuan keluargaku yang tercinta.

Setelah setahun dua bulan berjauhan, dipisahkan lautan dan benua… Itulah kali pertama aku mampu menyentuh puteri sulungku. Mendukung dan menciumnya, ku berikan dia dakapan seorang ayah. Ketika itu jugalah aku dapat melihat keletah Syafiq Imran setelah setahun lebih tidak ketemu. Cuma dia kelihatan sedikit kekok dan tidak biasa dengan keberadaanku meskipun aku ayah kandungnya. Ya mungkin..apalah anak kecil itu bisa mengerti. Dia masih belum mengerti apa-apa sewaktu aku berpamitan ke itali. Mungkin dia menganggap aku ini orang asing bersama ibunya. Walaupun telah beberapa kali aku cuba mendekati, namun anak sulung lelakiku itu nampak gayanya seperti susah mahu membiasakan dirinya denganku.

“Sekarang, Abang kena panggil Imran ni Along, sebab dia dah ada adik. “ Suhaily memberitahuku. Aku mengelus lembut pipi Imran tetapi ditepisnya. Sungguh naluri kebapaanku benar-benar tersentuh dan terasa sebak, namun aku faham, aku harus bersabar. Kerenah anak-anak memng begitu. Susah membiasakan diri dengan orang yang tidak dikenalinya.

“Imran, panggil Ayah cepat. Salam tangan Ayah, sayang,” pujuk Suhaily kepada Syafiq Imran.

“ Sape ni Bu? Acik Ayah?”. Imran menyebut menggerakkan bibirnya sambil memandang wajahku. Dia menghulurkan tanganya bersalaman denganku seperti yang diarahkan ibunya. Suhaily hampir tergelak,sambil memandang wajahku. Mungkin dalam pelatnya Imran mahu menyebut Pakcik Ayah agaknya. Ya Allah… erti perkataan ‘Ayah’ itu terasa dalam sekali maknanya bagiku ketika itu. Setelah itu dia berlari, menyorokkan badannya dibelakang tubuh ibunya.

“ Abang, bagilah Imran masa. Dia terkejut lagi tu kut. Padahal bukan Sue tak biasa tunjuk gambar abang, hari-hari tunjuk dan Sue suruh dia sebut  ‘Ayah’ tapi dia belum biasa agaknya. Nanti lama-lama okay lah tu. Masa abang pergi sana dulu kan dia kecik lagi, mana nak kenal orang sangat.” Suhaily menggosok-gosok lenganku perlahan. Aku menggangguk kecil tanda faham.

***

“Acik Ayah, Along nak pakai topi Acik Ayah boleh?” susah payah Syafiq Imran menuturkan dalam pelatnya. Ketika itu dia mula sudah membiasakan diri berada bersamaku. Topi yang kuletakkan di atas dashboard kereta, berada dipangkuan Syafiq Imran. Berminat sungguh nampkanya dia dengan topi putih itu. Ketika itu aku sedang memandu dan Syafiq Imran berada di kerusi sebelah pemandu dan Ibunya duduk dibelakang sambil menyusukan Syazreen.

“Along nak pakai topi Ayah ye? Boleh sayang. Sebut A.Y.A.H dulu,” aku cuba berkompromi dengan Syafiq Imran dengan lembut.

“Acik Ayah laaa…”

“Bukan sayang, cuba sebut A….yah.” aku menyebutnya satu persatu sambil menarik pipinya.

“A…yah! Hehehe. A…yah?” Syafiq Imran mula merasakan aku cuba berjenaka dengannya. Aku pantas menggeletak pinggangnya.

 “Haa..macam itulah! A..yah!” kemudian kami sama-sama ketawa. Suhaily hanya menggeleng-gelengkan kepalanya melihat kami.

Sesampainya di rumah, Suhaily  menyuruh aku membaringkan Syazreen yang sedang nyenyak tidur di atas katilnya kerana Syafiq Imran pula minta dibuatkan susu. Aku mengambil Syazreen daripada pangkuan ibunya dan menuju ke bilik. Setelah meletakkan Syazreen, aku kembali turun ke bawah dan berdiri di pintu dapur sambil merenung ke arah Suhaily.

Sungguh ketika ini, aku merasakan pilihanku ternyata tidak pernah salah sama sekali memilih Suhaily menjadi teman hidupku. Suhaily seorang wanita yang tabah, tidak keterlaluan untuk aku katakan. Isteriku itu sanggup berhenti kerja menjadi suri rumah sepenuh masa bagi memastikan aku dan kebajikan anak-anak terjaga. 

Sepeninggalan aku ke Itali, dia hamil anak kedua. Entah bagaimana emosinya berperang tatkala sepanjang ketiadaan aku disisinya, bersalin tanpa kehadiran aku bersamanya. Ketika itu jugalah dia belajar memandu untuk belajar berdikari menguruskan anak-anak tanpa aku. Sungguh, pengorbanan sebegitu… telah aku redhakan syurga buatnya. Tiada yang lain buatku selain daripada Noor Suhaily. Tidak ramai wanita mampu mengharung dugaan seperti dia, apabila dia berkeputusan mengemudi bahtera rumahtangganya bersama seorang pegawai tentera.

“Ehem Lt. Ikhmal… jauh termenung nampak?dari tadi asyik tengok Sue semacam aje?” usik Suhaily.

“Tak ada apa-apalah…jom Abang tunjukkan hadiah yang abang beli buat Sue dan anak-anak sebelum Abang balik ke sini.” Aku merangkul pinggang Suhaily dan sama-sama berpapasan menuju ke ruang tamu.
Kitaran hidup yang sering berjauhan daripada keluarga dek kerana hakikat tugas, serta impaknya terhadap itu, kukira itu suatu bentuk pengajaran yang Tuhan kurniakan buat aku dan Suhaily dalam melayari hidup bersama. Masing-masing antara kami sudah ditakdirkan begitu. Jalan ini tidak dipilih, namun hanya Yang Maha Esa yang menentukan. Dalam hati kuberdoa, moga dicekalkan hati dan selamanya dipermudahkan segalanya oleh Allahu Rabbi.

SELAMAT MENYAMBUT HARI ULANGTAHUN TLDM YANG KE-78.
27th APRIL 2012.


selesai 0758H.

menghapus dosa kelmarin... part 2

“ Maaf, Diha. Untuk terima you semula dalam hidup I, perkara tu sangat mustahil. Pergilah you jauh-jauh dari hidup I dan Amani, sebagaimana I tak pernah ganggu hidup you sebelum ni. I tak boleh pertimbangan sedikitpun permintaan you tu. Maaf, kalau you anggap keputusan I ni macam kejam. Tapi, I tak boleh… Amani tak perlu tahu yang dia ada ibu macam you. I seorang je dah cukup untuk dia, untuk beri kasih sayang seorang ibu dan ayah…” aku mengeraskan nada suaraku. Kuselitkan unsur ketegasan agar Ilina Madiha mengerti. Aku mahu kekal berpijak dengan pendirianku dan keputusanku itu, enggan mahu digugah oleh sesiapa pun.

        “ Fine, Firdaus Muttaqin! Fine! I cuba nak compromise this matter dengan you secara baik-baik, you tak nak. Like what I said just now, kalau I tak boleh dapatkan Amani dengan cara ni, I akan dapatkan Amani dengan cara undang-undang yang sah. You tunggu lah nanti. I akan uruskan segala-galanya. Yang pasti, I akan tuntut Amani Faqihah dari you. As a lawyer, I’m sure you pun tahu, hak penjagaan anak akan lebih diutamakan pada ibunya, bukan?” talian diputuskan. Aku benar-benar bingung. Diugut dengan cubaan untuk memisahkan aku dan Amani Faqihah? Ya Allah…


20 Disember 2015… 

        Mahkamah sudah bersidang. Aku sendiri sebagai peguam sukar mempercayainya. Hak penjagaan Amani Faqihah kini menjadi milik Ilina Madiha, bekas isteriku. Dalam erti kata yang lain, Amani Faqihah bakal berpisah denganku. Ya Allah… separuh jiwaku hampir gugur ketika hakim memutuskan perebutan hak penjagaan Amani Faqihah.

        Pulang sahaja ke rumah,aku melihat  Amani sedang nyenyak tidur. Mak Temah, pembantu rumahku meminta izin untuk pulang setelah aku sampai di rumah. Bibirku bergetar menahan sebak. Bagaimanakah agaknya Amani suatu saat nanti andai dia tidak bersamaku? Selama ini dia hanya mengenal akulah satu-satunya pelindungnya. Hatiku digamit kegusaran yang pastinya mampu membuatkan air mata lelaki yang bergelar Ayah ini jatuh tanpa ditahan-tahan. Aku enggan berpisah dengan Amani Faqihah, satu-satunya puteri yang menjadi sebab mengapa aku terus berjuang untuk hidup!   

        Tanggal kelahirannya yang ke-4 bakal menjelma dalam 3 hari lagi. Ternyata tamparan hebat ini rupa-rupanya menjadi hadiah kejutan buatku untuk Amani Faqihah. Apa lagi yang harus Ayah lakukan, sayang? Ayah tak mahu Amani pergi tinggalkan Ayah!

        Aku segera menghubungi Ilina Madiha. Meminta dia mempertimbangkan permintaanku untuk meluangkan masa bersama Amani Faqihah untuk menyambut ulang tahun kelahirannya buat kali terakhir. Mujur Ilina Madiha tidak menolak. Entah kapankah lagi aku bakal bertemu dengan puteri kesayanganku itu? Ilina Madiha benar-benar nekad untuk membawa Amani Faqihah pulang ke Australia. Kutahu, dia pastinya sengaja mahu meletakkan jurang pemisah antara aku dan Amani.


22 Disember 2015…

        “Ani saaaaaaayannnnnnnggggg Ayah!!!” lantas dia mencium pipiku tatkala kuhulurkan hadiah hari lahirnya. Alhamdulillah, Amani membesar sebagai seorang anak yang telah terdidik untuk tahu menghargai buku dan ilmu. Koleksi buku cerita sirah Rasulullah SAW dan para sahabat itu didakap seerat-eratnya didada.

        “ Lepas ni Amani kena belajar sendiri baca buku tu tau. Takkan asyik-asyik Ayah je nak bacakan untuk Amani everytime Amani nak tidur?” sengihku sambil mencuit hidungnya. Anak kecil yang tidak mengerti apa-apa itu bersungguh-sungguh mengangguk tanda faham. Ketahuilah nak, sebentar lagi ibumu bakal tiba dan membawa kamu pergi jauh dari Ayah. Ayah dah takkan ada peluang nak bacakan buku cerita pada Amani lagi. Tak ada kesempatan nak dodoikan Amani tidur, usap rambut Amani and pujuk Amani kalau Amani nangis… perasaan sebak mula menyerbu dadaku.

Kurang dari 10 minit lagi Ilina Madiha akan tiba dan membawa Amani pergi. Segala barangan keperluan Amani Faqihah telah Ilina Madiha ambil semalam kerana dia memaklumkan akan terbang pulang ke Australia pada malam itu juga. Tiket sudah ditempah, segala persiapan sudah diatur rapi. Hanya tinggal mereka untuk berangkat pergi. Hatiku benar-benar lirih. Aku lantas mengeluarkan kotak hadiah yang kedua buat Amani Faqihah. Tanda kenang-kenanganku untuknya.

        “Ni nak uat ape, yahh? Besarnyeeee!! Ani kecik agiii. Tak leh pakai ni…” aku melilitkan sehelai selendang sutera biru itu ke lehernya. Selera Amani sama sepertiku. Penggemar warna biru. Sengaja ku pilih selendang biru itu sebagai tanda kenang-kenangan supaya dia mengingati aku setelah ketiadaanku nanti. Aku ketawa kecil. Anak kecil itu kehairanan. Keningnya dikerutkan mempamerkan tanda tanya.

        “ Nanti Amani dah besar, Amani pakai la. Ayah bagi sekarang, nanti Amani simpan ok? Suka tak selendang tu?” aku bertanya.

        “Suka!” Amani Faqihah tersenyum sambil menampakkan barisan gigi susunya yang teratur dan putih.
Kelibat Ilina Madiha menerpa masuk ke dalam restoran berdingin hawa itu dan menuju ke arah meja aku dan Amani sedang duduk. Sambil menanggalkan cermin mata hitamnya, Ilina Madiha pantas mengambil tempat di sebelah Amani Faqihah.

        “ Jom ikut Ibu, Amani…” Ilina Madiha cuba bermesra dengan Amani Faqihah. Meskipun aku pernah menemukan Amani Faqihah dan Ilina Madiha sebelum ini, namun aku amat mengerti ‘fiil’ anak daraku yang seorang itu. Amani Faqihah amat jujur mempamerkan ketidakselesaannya walaupun pada hakikatnya dia seorang anak yang mudah mesra dengan sesiapa sahaja yang menghampirinya. Aku juga cuba menerangkan bahawa Ilina Madiha adalah ibunya dan menyuruh Amani Faqihah membahasakan Ilina Madiha sebagai Ibu. Namun, apalah anak sekecil itu bisa mengerti? Anak kecil itu menjauhi tubuhnya dari Ilina Madiha. Ilina Madiha cuba merapati Amani Faqihah, namun dia tetap sahaja menolak.

        “Ani takmau!” anak itu menggeleng-geleng. Hatiku makin pedih. Ilina semakin lama, semakin tidak kuasa memujuk lalu diraih tangan Amani Faqihah lantas mendukungnya. Amani meronta-ronta kerimasan dalam dukungan Ilina Madiha, minta dilepaskan.

        “ I akan contact you dari semasa ke semasa beritahu perkembangan Amani pada you. Thanks again Firdaus. Selamat tinggal” segera Ilina Madiha berlalu keluar dari restoran. Aku tidak sanggup melihat Amani Faqihah pergi lantas memalingkan wajahku ke arah lain.

“Ani nak ayahhhhhhh!!! Nakkk Ayahhhh! Takmau Ibuuuuu! Takmauu!” teriak Amani Faqihah. Sayup-sayup kedengaran suara teriakan Amani Faqihah, hingga tidak kedengaran lagi.
 Aku benar-benar terpana sebentar. Tenggelam punca. Perpisahan yang berlaku, lebih menyakitkan daripada perpisahan antara aku dan Ilina Madiha dahulu. Aku terduduk semula di atas kerusi itu dengan penuh kelesuan, lalu mataku terpandangkan selendang yang tertinggal di atas kerusi. Selendang milik Amani! Aku bergegas mencapai selendang itu lalu cuba mengejar mereka.

        Sreeeeettttt….Dammm! Kedengaran satu dentuman yang agak kuat tidak jauh dari tempat aku berada.Terus aku bergegas menghampiri kawasan kejadian. Ada orang dilanggar kereta! Pabila kuamati…itu ternyata anakku, Amani Faqihah! Aku meluru ke hadapan untuk mendaptkannya lalu memangku kepala Amani Faqihah yang berlumuran darah merah yang pekat membuih-buih itu. Ilina Madiha seperti terkejut, seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.

        “ I baru lepaskan Amani tak sampai 10 minit! Look, apa you dah buat ni Diha????” jerkahku. Ilina Madiha menangis dan menggoncang-goncang tubuh kecil Amani Faqihah. Tubuh Amani Faqihah tidak bergerak-gerak lagi. Aku memeriksa denyutan nadinya, ternyata denyutan itu lemah sekali. Ya Allah, sekiranya Kau ingin mengambil nyawa anakku, ambillah nyawaku sekali. Selamatkanlah anakku!

        “ I…I…. I tak tahu, Ferd! Tadi masa I nak lintas jalan, Amani meronta-ronta then tiba-tiba dia gigit bahu I. Then dia terlepas dari dukungan I. Dia berlari nak balik ke arah you…and..and..masa tu lah dia kena langgar…. Amani, please jangan tinggalkan ibu!” Ilina Madiha menangis semahu-mahunya.  

Selendang biru itu kugunakan untuk membalut kepala Amani yang semakin galak keluar darah merah segar yang membasahi hampir separuh baju kemeja yang kupakai. Aku mengangkat tubuh Amani Faqihah dan berlari menuju ke kereta untuk kukejarkan ke hospital. Ilina Madiha membuntutiku. Semasa aku memandu, Ilina Madiha berada disampingku dan memangku Amani Faqihah yang semakin lemah.

        Sesampainya di hospital, aku berlari sambil mendukung Amani Faqihah. Muka Amani Faqihah sudah semakin pucat. Tangannya sudah menjadi sejuk. Ku letakkan Amani Faqihah di atas stretcher di bahagian bilik kecemasan  lalu doktor serta petugasnya pantas menolak stretcher itu masuk ke ruangan kecemasan. Aku dan Ilina Madiha tidak dibenarkan masuk. Bibirku tidak putus-putus berdoa…Allah selamatkanlah Amani Faqihah!

        Tidak lama kemudian, doktor itu keluar daripada ruangan kecemasan dan mempamerkan wajah yang sugul. Aku tersandar di dinding. Aku sudah dapat membaca dari riak wajah doktor itu. Amani Faqihah….

        “ Maafkan kami,Encik Firdaus. Bersabarlah ” Doktor muda itu menepuk-nepuk perlahan bahuku.

        Ilina Madiha meraung dan menangis untuk kesekian kalinya. Selendang biru itu masih berada ditanganku. Benar, selendang biru itu kini memang menjadi satu-satunya tanda kenangan perpisahan antara aku, Ilina Madiha dan Amani Faqihah… dihari lahirnya yang terakhir, dan hari terakhir juga dia sempat bernafas bersamaku di dunia ini…

TAMAT.

Friday, April 20, 2012

menghapus dosa kelmarin... part 1

14 Julai 2015…
Selumbar itu kembali menusuk. Luka yang hampir sembuh itu bernanah kembali. Enggan kembali kepada kebejatan lalu, meski kudrat yang menampan semakin memudar. Kekuatan itu harus diraih semula. Meskipun susurnya menerbitkan kegalauan di hati, namun keyakinan harus digandakan! Aku tidak boleh tunduk. Tunduk kepada rancangan untuk merenggut sinar kebahagiaanku! Renungan kosong itu kembali kuhadapkan pada anak kecil itu. Kelihatan dia sedang bermain-main dengan anak patung yang kuhadiahkan semasa ulang tahun kelahirannya yang ke-3 pada hujung tahun lepas. 22 Disember 2014. Anak itu benar-benar polos. Tiada dosanya. Anak kecil itu pernah menghuni kantung rahim wanita yang menjadi belahan jiwaku tidak lama dahulu… Keletahnya kini mampu mengusaikan segala kekusutanku, malah menjadi menjadi kekuatanku untuk terus berada disampingnya. Melangkah dan mengasuhnya. Puteri tunggal kebanggaanku. Namun kini… aku kurang pasti, masih adakah kesempatan yang berbaki untuk aku telusuri?

                “Ayah…!” Amani meluru ke arahku. Kulingkarkan pelukanku ke tubuhnya. Dakapan erat, seolah-olah aku enggan melepaskannya lagi. Manja sekali. Tiba-tiba kelopak mataku bergenang. Irisku tiba-tiba berkaca tak semena-mena.

                “Ayahh angiss?? ” Amani memandangku separuh kehairanan. Dalam pelatnya, dia tetap petah berkata-kata. Aku tersenyum tawar. Cuba mengaburi mata jujur anak kecil yang suci tanpa noda itu. Aku pantas menggeleng.

                “ Mana ada, mata ayah masuk habuklah…” pendek aku menjawab. Insiden tengah hari tadi membuatkan fikiranku benar-benar terganggu. Amani meraih tanganku, lalu menarikku menuju ke kamar tidurnya.

                “Ayahh, jom acuk bilik.  Ani nak ido la yahhh…. Nantok..” kemudian dia lantas menguap dan mengenyeh-genyehkan matanya yang bundar itu. Comel. Sepasang mata hazel milik Amani benar-benar mirip wanita itu. Buatkan aku terhiris sekali lagi. Kasihan pula kulihat Amani. Dia benar-benar sudah mengantuk.


5 Mei 2011…

“Apa susah? I nak gugurkan. Soal duit, soal klinik you jangan risau. I akan uruskan semuanya… “ ujar Ilina Madiha. Aku yang mendengarkannya tersentak. Hampir luruh jantungku mendengarkan cadangannya.

        “ Please, Diha. Please nikah dengan I. Kandungan you baru around two months. Anak ni takkan jadi anak haram if you nikah dengan I sekarang. Even, I boleh binkan anak tu dengan nama I. After you lahirkan anak tu, I akan ceraikan you. I taknak you lahirkan anak yang tak sah taraf! Lagi pula dari benih I sendiri!” pujukku separuh merayu. Andai disuruh melutut sekalipun, aku akan melakukannya. Ini semua kulakukan demi benihku yang dikandungkan Ilina Madiha. Buah cinta kami yang sedang memekar dalam uterusnya.

        “ Mana you tau yang anak ni boleh dibinkan dengan nama you?”

        “ I tahu, Diha. I pun bukan jahil. I ada belajar agama juga. Lagipun ada juga I bertanya pada orang…”

        “Belajar agama? Then, bila I bagi body I kat you… agak-agak part mana yang you belajar dalam agama yang benarkan you buat macam tu? Tak pula you menolak?” pintas Ilina Madiha separuh mengejek. Aku terkelu. Meski apa yang dikatakannya itu pahit, namun terselit kebenaran yang menyakitkan. Maruahku juga ternyata diinjak-injak apabila dia berkata sedemikian.

        “ You tau something tak, Ferd? At first, I thought you ni alim gila lah. I respect kat you. Berketayap 24 jam, rajin pergi berjemaah kat masjid. Solat terjaga. Puasa sunat lagi…. Yelah, anak pak imam lah katakan. But look at you now. Look! You ni sama je macam lelaki lain, even you lagi teruk dari diorang sekarang. I dah hamil anak you… sedangkan I bukan bini you. Susah juga nak elak bila dah dirasuk syaitan ni kan?” tujah Ilina Madiha bertubi-tubi. Aku gagal membendung air mataku lagi. Aku hanya mampu merayu, dan terus merayu. Memintanya supaya dia mengahwiniku. Meski apapun yang terjadi, cuma nikah sajalah jalan penyelesaian yang tinggal. Meski aku sayangkan Ilina Madiha, namun aku juga prihatin tentang nasib yang akan menimpa anak yang bakal lahir itu. Itu adalah darah dagingku.

        “ I tak peduli you nak cakap apa pada I, Diha. I tak nafikan, memang I salah. Tapi bukan salah I sorang. You pun terbabit sama dalam hal ni. Please, jangan rumitkan lagi keadaan. I taknak tanggung dosa bunuh pulak, lepas dah berzina! The best solution is kita nikah, itu aje. Tolonglah, Diha. I tak minta you lebih-lebih. Just carry on your pregnancy, then lepas you lahirkan anak tu… I akan ceraikan you and I akan bela anak tu.” cadangku sekali lagi. Aku enggan mengalah dan tunduk kepada kemahuan Ilina Madiha untuk menggugurkan anak itu.

        “ You gila? You nak suruh I pregnant sampai 9 bulan? Badan I jadi gelebeh sana, gelebeh sini gara-gara anak haram ni? I yang kena bersakit-sakit muntah sana-sini. Nak kena control lifestyle I? Hey, I nak pindah ikut parents I ke Australia and semua tu jadi kacau bilau because of budak ni? Sial betullah!” Ilina Madiha menumbuk-numbuk perutnya. Aku pantas menggenggam tangannya.

        “Diha, kita nikah hujung minggu ni juga! I know parents you dah migrate ke Australia. They don’t have to know about this! Soal siapa nak nikahkan you dengan I, biar I uruskan. You juga yang cakap, I kan anak imam. So don’t worry! Biar I uruskan! Soal urusan you lepas ni, I akan tanggung. I akan cari rumah, beri nafkah pada you setiap bulan. I buat semua ni demi anak tu. Ingat dan dengar cakap I ni, Diha! I janji akan ceraikan you lepas you lahirkan anak tu nanti…” aku ternyata tiada pilihan. Pujukanku secara aman tidak berkesan, aku terpaksa menggunakan kekerasan dan autoritiku sebagai lelaki. Maaf Diha.

Hujung minggu itu juga, Ilina Madiha sah menjadi isteriku. Meskipun majlisnya hanya ala kadar, aku hanya ingin menyempurnakan tuntutan yang wajib sahaja. Padaku, pernikahan itu hanyalah sekadar untuk menyelamatkan nyawa anak itu. Juga kerana…. Aku terlalu cintakan Ilina Madiha. Mujur kami berdua berada jauh diperantauan, maka kukhabarkan pada orang tuaku bahawa aku bernikah dengan gadis pilihanku kerana untuk mengelakkan masalah bersekedudukan. Ayah juga maklum tentang perkara ini sebelum dia menghantar aku untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara, dia sudah memberikan keizinan padaku untuk bernikah di sana andai suatu hari perkara itu tidak dapat dielakkan…
         
  26 Disember 2011…

        “Diha! You pekak ke? Tak dengar ke anak tu menangis?” marahku apabila sekembalinya aku dari kelas. Kulihat Ilina Madiha sedang berkemas-kemas mengeluarkan pakaiannya dari dalam almari dan memasukkannya ke dalam beg . Rambutnya tidak lagi disanggul tinggi dan dahinya juga tidak lagi berpilis seperti semalam. Anak yang menjerit-jerit menangis kelaparan minta diberikan susu di atas katil enggan dipedulikan. Aku segera mencampakkan beg dan bukuku ke atas meja lalu merangkul susuk kecil itu. Hampir kebiruan wajahnya akibat dibiarkan menangis terlalu lama. Aku bergegas ke dapur dan membancuh susunya. Kudodoikan dan menyumbatkan puting botol yang berisi susu formula itu yang telah kubancuh. Anak itu diam semula. Aku kembali semula ke bilik dan mendapatkan Ilina Madiha.

        “ You ni ibu jenis apa? Biar anak menjerit-jerit separuh mati… you nak bunuh anak you sendiri ke apa, hah?” aku benar-benar kesal dengan tindakan Ilina Madiha. Aku merentap tangannya dan merenung matanya dalam-dalam.

        “ Firdaus Muttaqin! I nak pergi dari rumah ni! I dah muak la dengan you! Bosan ikut cakap you! You nak apa lagi? You suruh I mengandungkan anak you tu, I dah buat. I dah selamat beranakkan anak haram tu pun! Apa lagi yang you tak puas hati?” bentak Ilina Madiha.

        “ Anak haram you kata?Dia sah anak kita. You lahirkan dia lepas 7 bulan menikah dengan I. Kasihan la kat Amani ni Diha. Dia perlukan ibu. You baru 3 hari lepas lahirkan dia. Badan you pun lemah lagi. You nak ke mana?” aku mengendurkan nada percakapanku. Enggan menegangkan lagi situasi yang sudah sedia rapuh.

        “Dia bukan anak I. I tak ingin pun ada anak haram macam tu! It’s okay you tak payah nak sibuk-sibuk pasal I. I tahu nak jaga diri I. Yang I tahu, once I keluar je dari rumah ni, secara tak langsung yang kita dah bercerai dan I bukan isteri you lagi, dan you jangan berani claim yang Amani ni anak I. Kalau betul you lelaki, you ceraikan I sekarang jugak. Jangan cakap tak serupa bikin!” cabar Ilina Madiha. Mendengarkan jerkahan Ilina Madiha, Amani Faqihah yang sedang leka menyusu terkejut lantas menangis.

        “ Kalau itulah kemahuan you, I dah tak boleh nak cakap apa lagi. I pun tak nak jadi orang yang tak tepati janji I. So, mulai dari hari ni, I ceraikan you dengan talak satu. Pergilah dan buatlah apa yang you suka. Jangan pernah muncul di hadapan I lagi. Jangan cari I and Amani lagi. Amani tak perlukan ibu macam you ni!” balasku sedikit beremosi. Aku melepaskan pegangan tangan Ilina Madiha. Dia merentap bagasinya diatas katil dan berlalu pergi.

        Sambil memujuk Amani Faqihah, air mata lelakiku jatuh jua merembes membasahi pipi. Benar, aku sayangkan Ilina Madiha, namun untuk membiarkannya untuk terus hidup bersamaku tanpa kerelaannya, bukanlah suatu tindakan yang wajar. Biarlah dia pergi mendapatkan apa yang dia mahukan. Padaku, nasib Amani Faqihah yang perlu aku utamakan sekarang.  Aku tidak mahu lagi terus-terusan menambah dosa yang telah kuperbuatkan kepada mereka berdua.

        Amani Faqihah binti Firdaus Muttaqin. Semoga kau beroleh ketenangan dan kefahaman yang tinggi dalam hidupmu, nak. Membesarlah menjadi puteri yang menjadi kebanggaan Ayah. Ayah janji nak, kamu takkan pernah kekontangan kasih sayang daripada Ayah. Takkan pernah sama sekali!

14 Julai 2015…

        “I sedar dulu I silap. Lepas I tinggalkan you and Amani, hidup I memang bahagia. Lepas bercerai dengan you, I was married to an Australian man. Tapi tu semua sekejap je. Setahun kemudian, I dan dia terlibat dalam satu kemalangan. I was pregnant at that time and disebabkan cedera teruk, rahim I terpaksa dibuang. After dia tahu I dah tak boleh berikan dia zuriat lagi, dia ada skandal dengan perempuan lain dan dia ceraikan I. Waktu tu baru I sedar, mungkin inilah balasan yang I dapat bila I buat macam ni pada you dan Amani. Since that I cuba cari you semula, Ferd. I tahu you pun by that time dah pulang semula ke Malaysia lepas you dah habis belajar. Maafkan I , Ferd…” luluh hatiku apabila suara Ilina Madiha menyambar gegendang telingaku tengahari itu. Terasa menyesal pula mengangkat panggilan telefon yang tidak bernama itu.

        “ Maafkan you? Senang je you minta maaf. I tahu, kita pernah sama-sama buat silap dan terlanjur. You ingat tak apa yang you pernah cakap kat I dulu? Kenapa baru sekarang you nak mengaku yang Amani tu anak you? Mana you pergi selama ni waktu dia memerlukan kasih sayang dari seorang ibu? You ibu kandung dia, Diha! Tapi kenapa sekarang you muncul balik dalam hidup I dan Amani? Apa yang you nak sebenarnya? Kalau you harapkan I dan Amani kembali dalam hidup you, memang you silap besar,. Perkara tu takkan pernah terjadi pun…” balasku dengan sedikit sinis. Benar aku simpati dengan keadaanya, namun apa yang telah Ilina Madiha perbuatkan pada Amani Faqihah, bukanlah sesuatu yang mudah sekali untuk kuterima.

        “ Tolonglah terima I balik dalam hidup you, Ferd. Tolong jangan buang I. I janji, I akan jadi ibu yang baik pada Amani. Berilah peluang pada I untuk tebus kesalahan I pada you, pada Amani.  Terimalah I semula sebagai isteri you. Kalaupun you tak mahu rujuk kembali dengan I, sekurang- kurangnya berikanlah I peluang untuk I tumpahkan kasih sayang I pada anak kandung I juga. At least, she still needs a mother. I’m her biological mother! Please?” Ilina Madiha masih terus-terusan mencuba nasib. Aku hanya membatukan diri. Tetapi entah mengapa, hati lelakiku sudah memejal, sedkitpun tidak berkocak dan terpujuk dengan rayuannya. 

bersambung....