CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Friday, June 22, 2012

Hakikat Seorang Wira Samudera

 (SEMPENA MENYAMBUT HARI TENTERA LAUT DIRAJA MALAYSIA YANG KE 78)

“Abang pergi tak lama, sayang. Sue tunggu abang balik ya. Jagakan Imran buat abang. Sue pun kena jaga kandungan dan kesihatan baik-baik. Insya-Allah Abang akan selalu kirim khabar dan telefon Sue untuk tanya khabar keluarga dan anak-anak nanti.” Aku mengucup dahi Suhaily dan anakku Syafiq Imran, lantas memeluk kedua-duanya kedalam dakapanku.

“Sue akan kuat demi Abang dan anak-anak. Insya-allah, Sue doakan Abang selamat pergi dan selamat pulang. Sue dan anak-anak akan tunggu Abang balik.” Kulihat bibir Suhaily bergetap menahan tangis. Masih jua menggagahkan dirinya untuk tersenyum dihadapanku.

Sungguh, berat bahagian hatiku yang bergelar ayah dan suami ini untuk pergi meninggalkan isteri yang sedang hamil 3 bulan beserta anak yang baru mula pandai berjalan jatuh itu. Namun apalah dayaku, dalam masa yang sama..tanggungjawabku terhadap negara turut terpikul di atas bahu ini. Semua demi kehendak perkhidmatan,tuntutan amanah ibu pertiwi serta hidupku menjunjung cogankata yang satu, Sedia Berkorban. Lalu aku kuatkan jua.

***

Jam ditanganku hampir pukul 0400H. Aku baru sahaja selesai ‘radar shift’ bersama anak buahku serta seorang pegawai, Lt. Faisal lalu mereka mengajak aku untuk minum kopi bersama. Namun pelawaan mereka kutolak secara baik, cadangnya aku mahu bersendirian melepaskan lelah. Aku melangkah menuju ke buritan kapal untuk merenung gumpalan buih yang terhasil daripada pintalan propeller. Mencium bau laut yang sebati menjadi kehidupanku. Suatu senyuman tersungging dari bibirku. Indah dan menenangkan. Aku duduk lalu mengeluarkan sepucuk sampul surat yang baru sahaja ku terima tengahari tadi. Namun ketika itu, aku masih belum sempat membacanya.

Sambil ditemani bulan yang terang, aku membuka sampul kiriman Noor Suhaily bt. Sulaiman itu perlahan-lahan. Ku tarik isinya berhati-hati. Ada sepucuk surat beserta dua keping gambar yang kuterima. Tak semena-mata pelupuk mataku terasa mahu bergenang, satu foto Suhaili beserta Syafiq Imran dipangkuannya, kuyakin itu gambar terbarunya kerana kulihat anakku itu sudah besar sedikit daripada sewaktu aku meninggalkan dia bersama ibunya. Sekeping foto lagi, gambar seorang bayi perempuan yang comel yang ku agak baru berusia hampir sebulan.

Lantas kubaca isi surat itu.

Kehadapan suamiku yang dirindui, Sue mendoakan Abang moga selamat dan sejahtera di bumi Itali sana. Agaknya sudah berapa kali Abang nyatakan yang Abang rindukan masakan air tangan Sue, bukan lagi tiap hari disajikan dengan pasta mahupun pizza yang Abang sudah muak itu.

Abang,

Ini surat kali ke-10 yang Sue tuliskan buat Abang. Sue dan anak-anak serta keluarga di sini sihat semuanya. Untuk pengetahuan Abang, Sue sudah selamat bersalin secara normal pada 7 Jun lepas, jam 4.25 pagi. Alhamdulillah, zuriat kita yang kedua kali ini perempuan, bang. Mata dan hidungnya persis milik Abang. Mengikut sunnah hari ke-7, Sue namakan anak kita Syazreen Imanina bt. Ikhmal. Semua urusan pendaftaran kelahiran diuruskan adik Abang, Ikram sepertimana yang Abang amanahkan. Semuanya telah selamat dan lancar. Sue masih dalam tempoh berpantang, namun Sue tetap menulis surat untuk Abang dan mengirim foto Syazreen untuk tatapan Abang di sana. Sue berharap…

Pembacaanku terhenti apabila CPO Ahmad Hisyam menegurku. Segera ku mengelap air mata yang hampir tumpah tatkala membaca surat kiriman isteriku. Enggan ketara sekali ternampak dek anak buahku yang aku sedang merindui anak, isteri serta kampung halaman.

“Eh Tuan, buat apa duduk kat sini sorang-sorang? Melayan perasaan ke?” gurau CPO Hisyam.

“ Yelah chief… saya baru habis ‘radar shift’ tadi dengan Lt. Faisal dan PO Latif, diorang pergi minum kopi tapi saya datang duduk kat sini sambil baca surat isteri saya kirim. Feeling sekejap lah jawabnya. Isteri saya baru bersalin anak kedua kami,” balasku sambil tersenyum.

“Oh, tahniah Tuan! Memang rasa nak cepat-cepat balik je kan tengok anak dan isteri, Tuan? Sabarlah, kita pun dah tak lama nak balik. Saya pun rindu masakan isteri saya dah ni Tuan. Tahap kempunan dah ni..” CPO Hisyam menepuk bahuku perlahan. Ku rasakan CPO Hisyam mampu meneka isi hatiku kerana dia jauh lebih berusia dariku, sudah lama berada dalam perjawatan Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia dan pastinya sudah lebih banyak melalui pengalaman meninggalkan keluarga tercinta demi kewajipan tugas.

“Tak apalah, nak buat macam mana. mujurlah tugas kita disini hampir selesai. Dalam dua bulan lagi kita bakal berangkat ke tanah air semula. Harapnya semoga Allah permudahkan urusan kita.” ujarku.

Sue… Abang rindukan Sue dan anak-anak. Nantikan Abang. Desis hati kecilku.

***
Pagi itu, lebih kurang 2 jam sahaja lagi KD Laksamana Tun Abdul Jamil bakal tiba di Jeti Pangkalan TLDM Lumut. Aku dimaklumkan ada majlis sambutan besar-besaran bagi menyambut ketibaan kedua-dua kapal korvet KD Laksamana Hang Nadim dan KD Laksamana Tun Abdul Jamil. Kapal yang ditugaskan dalam skuadron korvet ke-24 milik TLDM ini adalah Korvet Kelas Laksamana yang dibangunkan hasil kepakaran Ficantieri, Breda dan Marghera yang berasal daripada Itali telah digunakan oleh flotila serangan TLDM yang asalnya dipesan Tentera Laut Iraq pada tahun 1981 dan diambil alih oleh Kerajaan Malaysia.

Aku merupakan sebahagian anggota TLDM yang telah dihantar ke Itali untuk menjadi warga perintis KD Laksamana Tun Abdul Jamil ini setelah Kerajaan Malaysia menyatakan hasrat mahu mengambil alih kapal ini pada Oktober 1995 setelah PBB mengenakan sekatan terhadap Iraq akibat Perang Iran-Iraq yang telah tercetus. Setelah beberapa ‘project team’ dihantar ke Itali terlebih dahulu dan proses ‘refit’ di Muggiano barulah aku bersama sekumpulan yang lain menyusul berangkat ke sana pada Julai 1996, setelah termeterainya kontrak pembelian kapal tersebut untuk latihan selama tiga bulan di Itali dan beberapa buah negara dalam pelayaran pulang ke Malaysia yang memakan masa hampir setahun sehingga September 1997.

“Jauh termenung Tuan!” lamunanku terhenti dek terkejut sergahan CPO Hisyam. Aku yang berdiri di anjungan melaung ke arahnya.

“Secantik-cantik negeri orang, tempat sendiri juga yang kita rindu. Tak sabar bila kapal ini mula menghinggap tebing Jeti Lumut sebentar lagi.” ujarku kepada CPO Hisyam.

“Betul tu, Tuan. Biarpun kita dah merasa keadaan iklim 4 musim semasa kita berada di Itali dahulu, tetapi nikmatnya tetap tidak sama. Oh ya, Tuan sejam lagi kita akan masuk base. CO dah beri arahan supaya semua anak kapal bersedia, kerana sebaik sahaja isyarat kita memasuki kawasan pangkalan, kita diarah untuk berbaris di atas geladak dan memberi tabik hormat.” Kata CPO Hisyam.

“Ya, semalam saya diberitahu tentang itu oleh Lt Faisal. Terima kasih Chief.” Tokokku kemudian.

***

Kapal memasuki perairan Pangkalan TLDM Lumut lebih kurang jam 11.30 pagi, ketika itu anak-anak kapal semuanya sudah bersiap sedia berbaris di atas geladak. Terdengar satu das tembakan peluru berbunyi, laungan ‘Gempur Wira’ berserta tabik hormat berkumandang menggegar samudera raya. Oh pesisir pantai ibu pertiwi…aku sudah kembali untukmu.

Sebaik sahaja sauh diturunkan, anak-anak kapal turun ke jeti dan disambut meriah oleh anggota-angota TLDM yang terdiri daripada LLP sehinggalah pegawai serta kehadiran Laksamana Madya yang memerintah armada Pangkalan TLDM Lumut juga turut ada. Setelah bersalaman dengan beberapa anggota serta pegawai, aku meluru ke arah khemah ahli keluarga para anak kapal yang sudah sedia menanti ketibaan kami sejak awal pagi lagi.

Kelihatan belahan jiwaku sedang memangku puteri kecilku, Syazreen beserta seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun setengah sedang duduk bersebelahan ibunya. Imran, Ayah rindu padamu nak. Perlahan-lahan aku menghampiri Suhaily. Dia yang tergamam melihatku terus bangun dan tangan kanannya meraih jari-jemariku lantas menciumnya sementara tangan kirinya mengendong Syazreen. Aku mendukung Syafiq Imran.

“Assalamualaikum, Abang. Selamat pulang wira samudera Syafiq Imran. Sue terlalu rindukan,Abang…” Suhaily bersuara. Aku gagal menahan sebak, lantas kumenarik mereka bertiga ke dalam dakapanku. Kami empat beranak berpelukan. Tiada yang lebih membahagiakan dari saat-saat ini yang setelah sekian lama kunantikan.

“Waalaikumsalam sayang. Ya, Abang juga rindukan Sue dan anak-anak.” Tiada kata lagi yang mampu kuucapkan melainkan syukur kerana aku selamat kembali kepangkuan keluargaku yang tercinta.

Setelah setahun dua bulan berjauhan, dipisahkan lautan dan benua… Itulah kali pertama aku mampu menyentuh puteri sulungku. Mendukung dan menciumnya, ku berikan dia dakapan seorang ayah. Ketika itu jugalah aku dapat melihat keletah Syafiq Imran setelah setahun lebih tidak ketemu. Cuma dia kelihatan sedikit kekok dan tidak biasa dengan keberadaanku meskipun aku ayah kandungnya. Ya mungkin..apalah anak kecil itu bisa mengerti. Dia masih belum mengerti apa-apa sewaktu aku berpamitan ke itali. Mungkin dia menganggap aku ini orang asing bersama ibunya. Walaupun telah beberapa kali aku cuba mendekati, namun anak sulung lelakiku itu nampak gayanya seperti susah mahu membiasakan dirinya denganku.

“Sekarang, Abang kena panggil Imran ni Along, sebab dia dah ada adik. “ Suhaily memberitahuku. Aku mengelus lembut pipi Imran tetapi ditepisnya. Sungguh naluri kebapaanku benar-benar tersentuh dan terasa sebak, namun aku faham, aku harus bersabar. Kerenah anak-anak memng begitu. Susah membiasakan diri dengan orang yang tidak dikenalinya.

“Imran, panggil Ayah cepat. Salam tangan Ayah, sayang,” pujuk Suhaily kepada Syafiq Imran.

“ Sape ni Bu? Acik Ayah?”. Imran menyebut menggerakkan bibirnya sambil memandang wajahku. Dia menghulurkan tanganya bersalaman denganku seperti yang diarahkan ibunya. Suhaily hampir tergelak,sambil memandang wajahku. Mungkin dalam pelatnya Imran mahu menyebut Pakcik Ayah agaknya. Ya Allah… erti perkataan ‘Ayah’ itu terasa dalam sekali maknanya bagiku ketika itu. Setelah itu dia berlari, menyorokkan badannya dibelakang tubuh ibunya.

“ Abang, bagilah Imran masa. Dia terkejut lagi tu kut. Padahal bukan Sue tak biasa tunjuk gambar abang, hari-hari tunjuk dan Sue suruh dia sebut  ‘Ayah’ tapi dia belum biasa agaknya. Nanti lama-lama okay lah tu. Masa abang pergi sana dulu kan dia kecik lagi, mana nak kenal orang sangat.” Suhaily menggosok-gosok lenganku perlahan. Aku menggangguk kecil tanda faham.

***

“Acik Ayah, Along nak pakai topi Acik Ayah boleh?” susah payah Syafiq Imran menuturkan dalam pelatnya. Ketika itu dia mula sudah membiasakan diri berada bersamaku. Topi yang kuletakkan di atas dashboard kereta, berada dipangkuan Syafiq Imran. Berminat sungguh nampkanya dia dengan topi putih itu. Ketika itu aku sedang memandu dan Syafiq Imran berada di kerusi sebelah pemandu dan Ibunya duduk dibelakang sambil menyusukan Syazreen.

“Along nak pakai topi Ayah ye? Boleh sayang. Sebut A.Y.A.H dulu,” aku cuba berkompromi dengan Syafiq Imran dengan lembut.

“Acik Ayah laaa…”

“Bukan sayang, cuba sebut A….yah.” aku menyebutnya satu persatu sambil menarik pipinya.

“A…yah! Hehehe. A…yah?” Syafiq Imran mula merasakan aku cuba berjenaka dengannya. Aku pantas menggeletak pinggangnya.

 “Haa..macam itulah! A..yah!” kemudian kami sama-sama ketawa. Suhaily hanya menggeleng-gelengkan kepalanya melihat kami.

Sesampainya di rumah, Suhaily  menyuruh aku membaringkan Syazreen yang sedang nyenyak tidur di atas katilnya kerana Syafiq Imran pula minta dibuatkan susu. Aku mengambil Syazreen daripada pangkuan ibunya dan menuju ke bilik. Setelah meletakkan Syazreen, aku kembali turun ke bawah dan berdiri di pintu dapur sambil merenung ke arah Suhaily.

Sungguh ketika ini, aku merasakan pilihanku ternyata tidak pernah salah sama sekali memilih Suhaily menjadi teman hidupku. Suhaily seorang wanita yang tabah, tidak keterlaluan untuk aku katakan. Isteriku itu sanggup berhenti kerja menjadi suri rumah sepenuh masa bagi memastikan aku dan kebajikan anak-anak terjaga. 

Sepeninggalan aku ke Itali, dia hamil anak kedua. Entah bagaimana emosinya berperang tatkala sepanjang ketiadaan aku disisinya, bersalin tanpa kehadiran aku bersamanya. Ketika itu jugalah dia belajar memandu untuk belajar berdikari menguruskan anak-anak tanpa aku. Sungguh, pengorbanan sebegitu… telah aku redhakan syurga buatnya. Tiada yang lain buatku selain daripada Noor Suhaily. Tidak ramai wanita mampu mengharung dugaan seperti dia, apabila dia berkeputusan mengemudi bahtera rumahtangganya bersama seorang pegawai tentera.

“Ehem Lt. Ikhmal… jauh termenung nampak?dari tadi asyik tengok Sue semacam aje?” usik Suhaily.

“Tak ada apa-apalah…jom Abang tunjukkan hadiah yang abang beli buat Sue dan anak-anak sebelum Abang balik ke sini.” Aku merangkul pinggang Suhaily dan sama-sama berpapasan menuju ke ruang tamu.
Kitaran hidup yang sering berjauhan daripada keluarga dek kerana hakikat tugas, serta impaknya terhadap itu, kukira itu suatu bentuk pengajaran yang Tuhan kurniakan buat aku dan Suhaily dalam melayari hidup bersama. Masing-masing antara kami sudah ditakdirkan begitu. Jalan ini tidak dipilih, namun hanya Yang Maha Esa yang menentukan. Dalam hati kuberdoa, moga dicekalkan hati dan selamanya dipermudahkan segalanya oleh Allahu Rabbi.

SELAMAT MENYAMBUT HARI ULANGTAHUN TLDM YANG KE-78.
27th APRIL 2012.


selesai 0758H.

menghapus dosa kelmarin... part 2

“ Maaf, Diha. Untuk terima you semula dalam hidup I, perkara tu sangat mustahil. Pergilah you jauh-jauh dari hidup I dan Amani, sebagaimana I tak pernah ganggu hidup you sebelum ni. I tak boleh pertimbangan sedikitpun permintaan you tu. Maaf, kalau you anggap keputusan I ni macam kejam. Tapi, I tak boleh… Amani tak perlu tahu yang dia ada ibu macam you. I seorang je dah cukup untuk dia, untuk beri kasih sayang seorang ibu dan ayah…” aku mengeraskan nada suaraku. Kuselitkan unsur ketegasan agar Ilina Madiha mengerti. Aku mahu kekal berpijak dengan pendirianku dan keputusanku itu, enggan mahu digugah oleh sesiapa pun.

        “ Fine, Firdaus Muttaqin! Fine! I cuba nak compromise this matter dengan you secara baik-baik, you tak nak. Like what I said just now, kalau I tak boleh dapatkan Amani dengan cara ni, I akan dapatkan Amani dengan cara undang-undang yang sah. You tunggu lah nanti. I akan uruskan segala-galanya. Yang pasti, I akan tuntut Amani Faqihah dari you. As a lawyer, I’m sure you pun tahu, hak penjagaan anak akan lebih diutamakan pada ibunya, bukan?” talian diputuskan. Aku benar-benar bingung. Diugut dengan cubaan untuk memisahkan aku dan Amani Faqihah? Ya Allah…


20 Disember 2015… 

        Mahkamah sudah bersidang. Aku sendiri sebagai peguam sukar mempercayainya. Hak penjagaan Amani Faqihah kini menjadi milik Ilina Madiha, bekas isteriku. Dalam erti kata yang lain, Amani Faqihah bakal berpisah denganku. Ya Allah… separuh jiwaku hampir gugur ketika hakim memutuskan perebutan hak penjagaan Amani Faqihah.

        Pulang sahaja ke rumah,aku melihat  Amani sedang nyenyak tidur. Mak Temah, pembantu rumahku meminta izin untuk pulang setelah aku sampai di rumah. Bibirku bergetar menahan sebak. Bagaimanakah agaknya Amani suatu saat nanti andai dia tidak bersamaku? Selama ini dia hanya mengenal akulah satu-satunya pelindungnya. Hatiku digamit kegusaran yang pastinya mampu membuatkan air mata lelaki yang bergelar Ayah ini jatuh tanpa ditahan-tahan. Aku enggan berpisah dengan Amani Faqihah, satu-satunya puteri yang menjadi sebab mengapa aku terus berjuang untuk hidup!   

        Tanggal kelahirannya yang ke-4 bakal menjelma dalam 3 hari lagi. Ternyata tamparan hebat ini rupa-rupanya menjadi hadiah kejutan buatku untuk Amani Faqihah. Apa lagi yang harus Ayah lakukan, sayang? Ayah tak mahu Amani pergi tinggalkan Ayah!

        Aku segera menghubungi Ilina Madiha. Meminta dia mempertimbangkan permintaanku untuk meluangkan masa bersama Amani Faqihah untuk menyambut ulang tahun kelahirannya buat kali terakhir. Mujur Ilina Madiha tidak menolak. Entah kapankah lagi aku bakal bertemu dengan puteri kesayanganku itu? Ilina Madiha benar-benar nekad untuk membawa Amani Faqihah pulang ke Australia. Kutahu, dia pastinya sengaja mahu meletakkan jurang pemisah antara aku dan Amani.


22 Disember 2015…

        “Ani saaaaaaayannnnnnnggggg Ayah!!!” lantas dia mencium pipiku tatkala kuhulurkan hadiah hari lahirnya. Alhamdulillah, Amani membesar sebagai seorang anak yang telah terdidik untuk tahu menghargai buku dan ilmu. Koleksi buku cerita sirah Rasulullah SAW dan para sahabat itu didakap seerat-eratnya didada.

        “ Lepas ni Amani kena belajar sendiri baca buku tu tau. Takkan asyik-asyik Ayah je nak bacakan untuk Amani everytime Amani nak tidur?” sengihku sambil mencuit hidungnya. Anak kecil yang tidak mengerti apa-apa itu bersungguh-sungguh mengangguk tanda faham. Ketahuilah nak, sebentar lagi ibumu bakal tiba dan membawa kamu pergi jauh dari Ayah. Ayah dah takkan ada peluang nak bacakan buku cerita pada Amani lagi. Tak ada kesempatan nak dodoikan Amani tidur, usap rambut Amani and pujuk Amani kalau Amani nangis… perasaan sebak mula menyerbu dadaku.

Kurang dari 10 minit lagi Ilina Madiha akan tiba dan membawa Amani pergi. Segala barangan keperluan Amani Faqihah telah Ilina Madiha ambil semalam kerana dia memaklumkan akan terbang pulang ke Australia pada malam itu juga. Tiket sudah ditempah, segala persiapan sudah diatur rapi. Hanya tinggal mereka untuk berangkat pergi. Hatiku benar-benar lirih. Aku lantas mengeluarkan kotak hadiah yang kedua buat Amani Faqihah. Tanda kenang-kenanganku untuknya.

        “Ni nak uat ape, yahh? Besarnyeeee!! Ani kecik agiii. Tak leh pakai ni…” aku melilitkan sehelai selendang sutera biru itu ke lehernya. Selera Amani sama sepertiku. Penggemar warna biru. Sengaja ku pilih selendang biru itu sebagai tanda kenang-kenangan supaya dia mengingati aku setelah ketiadaanku nanti. Aku ketawa kecil. Anak kecil itu kehairanan. Keningnya dikerutkan mempamerkan tanda tanya.

        “ Nanti Amani dah besar, Amani pakai la. Ayah bagi sekarang, nanti Amani simpan ok? Suka tak selendang tu?” aku bertanya.

        “Suka!” Amani Faqihah tersenyum sambil menampakkan barisan gigi susunya yang teratur dan putih.
Kelibat Ilina Madiha menerpa masuk ke dalam restoran berdingin hawa itu dan menuju ke arah meja aku dan Amani sedang duduk. Sambil menanggalkan cermin mata hitamnya, Ilina Madiha pantas mengambil tempat di sebelah Amani Faqihah.

        “ Jom ikut Ibu, Amani…” Ilina Madiha cuba bermesra dengan Amani Faqihah. Meskipun aku pernah menemukan Amani Faqihah dan Ilina Madiha sebelum ini, namun aku amat mengerti ‘fiil’ anak daraku yang seorang itu. Amani Faqihah amat jujur mempamerkan ketidakselesaannya walaupun pada hakikatnya dia seorang anak yang mudah mesra dengan sesiapa sahaja yang menghampirinya. Aku juga cuba menerangkan bahawa Ilina Madiha adalah ibunya dan menyuruh Amani Faqihah membahasakan Ilina Madiha sebagai Ibu. Namun, apalah anak sekecil itu bisa mengerti? Anak kecil itu menjauhi tubuhnya dari Ilina Madiha. Ilina Madiha cuba merapati Amani Faqihah, namun dia tetap sahaja menolak.

        “Ani takmau!” anak itu menggeleng-geleng. Hatiku makin pedih. Ilina semakin lama, semakin tidak kuasa memujuk lalu diraih tangan Amani Faqihah lantas mendukungnya. Amani meronta-ronta kerimasan dalam dukungan Ilina Madiha, minta dilepaskan.

        “ I akan contact you dari semasa ke semasa beritahu perkembangan Amani pada you. Thanks again Firdaus. Selamat tinggal” segera Ilina Madiha berlalu keluar dari restoran. Aku tidak sanggup melihat Amani Faqihah pergi lantas memalingkan wajahku ke arah lain.

“Ani nak ayahhhhhhh!!! Nakkk Ayahhhh! Takmau Ibuuuuu! Takmauu!” teriak Amani Faqihah. Sayup-sayup kedengaran suara teriakan Amani Faqihah, hingga tidak kedengaran lagi.
 Aku benar-benar terpana sebentar. Tenggelam punca. Perpisahan yang berlaku, lebih menyakitkan daripada perpisahan antara aku dan Ilina Madiha dahulu. Aku terduduk semula di atas kerusi itu dengan penuh kelesuan, lalu mataku terpandangkan selendang yang tertinggal di atas kerusi. Selendang milik Amani! Aku bergegas mencapai selendang itu lalu cuba mengejar mereka.

        Sreeeeettttt….Dammm! Kedengaran satu dentuman yang agak kuat tidak jauh dari tempat aku berada.Terus aku bergegas menghampiri kawasan kejadian. Ada orang dilanggar kereta! Pabila kuamati…itu ternyata anakku, Amani Faqihah! Aku meluru ke hadapan untuk mendaptkannya lalu memangku kepala Amani Faqihah yang berlumuran darah merah yang pekat membuih-buih itu. Ilina Madiha seperti terkejut, seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.

        “ I baru lepaskan Amani tak sampai 10 minit! Look, apa you dah buat ni Diha????” jerkahku. Ilina Madiha menangis dan menggoncang-goncang tubuh kecil Amani Faqihah. Tubuh Amani Faqihah tidak bergerak-gerak lagi. Aku memeriksa denyutan nadinya, ternyata denyutan itu lemah sekali. Ya Allah, sekiranya Kau ingin mengambil nyawa anakku, ambillah nyawaku sekali. Selamatkanlah anakku!

        “ I…I…. I tak tahu, Ferd! Tadi masa I nak lintas jalan, Amani meronta-ronta then tiba-tiba dia gigit bahu I. Then dia terlepas dari dukungan I. Dia berlari nak balik ke arah you…and..and..masa tu lah dia kena langgar…. Amani, please jangan tinggalkan ibu!” Ilina Madiha menangis semahu-mahunya.  

Selendang biru itu kugunakan untuk membalut kepala Amani yang semakin galak keluar darah merah segar yang membasahi hampir separuh baju kemeja yang kupakai. Aku mengangkat tubuh Amani Faqihah dan berlari menuju ke kereta untuk kukejarkan ke hospital. Ilina Madiha membuntutiku. Semasa aku memandu, Ilina Madiha berada disampingku dan memangku Amani Faqihah yang semakin lemah.

        Sesampainya di hospital, aku berlari sambil mendukung Amani Faqihah. Muka Amani Faqihah sudah semakin pucat. Tangannya sudah menjadi sejuk. Ku letakkan Amani Faqihah di atas stretcher di bahagian bilik kecemasan  lalu doktor serta petugasnya pantas menolak stretcher itu masuk ke ruangan kecemasan. Aku dan Ilina Madiha tidak dibenarkan masuk. Bibirku tidak putus-putus berdoa…Allah selamatkanlah Amani Faqihah!

        Tidak lama kemudian, doktor itu keluar daripada ruangan kecemasan dan mempamerkan wajah yang sugul. Aku tersandar di dinding. Aku sudah dapat membaca dari riak wajah doktor itu. Amani Faqihah….

        “ Maafkan kami,Encik Firdaus. Bersabarlah ” Doktor muda itu menepuk-nepuk perlahan bahuku.

        Ilina Madiha meraung dan menangis untuk kesekian kalinya. Selendang biru itu masih berada ditanganku. Benar, selendang biru itu kini memang menjadi satu-satunya tanda kenangan perpisahan antara aku, Ilina Madiha dan Amani Faqihah… dihari lahirnya yang terakhir, dan hari terakhir juga dia sempat bernafas bersamaku di dunia ini…

TAMAT.