CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Friday, June 10, 2011

hingga saat itu (P1)

Semester Tiga sudah bermula. Terasa longlai kakiku untuk menapak semula ke kolejku yang terletak sebuah negeri yang cukup sinonim dan terkenal sebagai sebuah negeri yang penuh tradisi dan beradat bagi menyambung semula kuliah dan pengajianku. Dua semester telah berjaya kulalui, peperiksaan fasa pertama yang terpenting bagi seorang penuntut program A-Level iaitu AS  juga telah kududuki tempohari. Keputusan? Ah,biarlah Allah sahaja yang menentukan. Cenderung untuk aku mengakui, aku sudah melakukan yang terbaik dan hanya Allah sahaja yang berhak mengukir segala keputusan yang bakal tercoret di atas kertas-kertas peperiksaan yang telah kucontengi dengan segala formula  matematik, hukum-hukum fizik dan kimia. Segala ilmu dibenakku telah kumuntahkan  dalam kertas-kertas yang bakal disemak oleh pemeriksa. Alfian,redha sajalah! Desisku didalam hati.

Melangkah masuk ke blok Farabi,aku mengatur langkah sendirian sambil menggalas beg sandangku yang berisi pakaian dan buku yang kubawa pulang untuk ditelaah pada cuti semester yang lepas. Langkah ku atur menaiki tangga satu persatu untuk ke bilikku yg terletak di tingkat dua itu.Aku menjeling jam ditangan kananku. Jarum pendek itu menunjukkan angka 12 menandakan ketika itu sudah pukul 12 tengah hari. Menerjah masuk ke bilikku sambil mengucapkan salam, kulihat Adif sedang mengemaskan buku-bukunya diatas meja. Awalnya mamat ni sampai…getusku sendirian. Adif hanya meleretkan sebuah senyuman melihatkan aku.

            “Kau bertolak dari Kedah pukul berapa?” tanya Adif.

            “ Malam semalam. Pukul 10.30 malam. Aku sampai Seremban pukul 6.30 pagi. Masuk surau , aku solat subuh. Then, aku tertidur sampai pukul 10 pagi tadi. Lepak-lepak kejap,cari barang sikit baru aku gerak balik kolej. Kau sampai pukul berapa? Awal pulak. Bukan selalu muka kau ke yang payah nak balik awal? Faqar pun belum sampai lagi..” balasku sambil mengerling ke arah katil yang terletak berhampiran tingkap dan menghadap ke Dewan Makan kolej. Masih kosong dan mejanya juga  masih berhabuk. Tanda si pemilik katil, Zulfaqar yang merupakan seorang lagi teman sebilikku yang belum sampai.

            “ Balik awal? Biasa lah bro, semangat sem baru.Hehe…Ala Faqar tu, rumah dekat takpe lah sampai lambat pun. Apa nak kisah? Weh,cepatlah kemas katil kau tu. Lepas tu kita keluar cari makan. Apa perut kau tak buat konsert ke tengah-tengah hari macam ni? Aku belanja. Cepatlah !” gesa Adif.

            “ Cantik la. Tak sia-sia aku bela kau jadi roommate aku selama ni..hehe!” aku menyeringai ke araf Adif. Ku bersihkan segala habuk-habuk yang melapisi tilam dan meja belajarku. Kemudian aku masukkan baju-bajuku ke dalam loker dan segera ku kunci semula.

            “ Dah siap. Jom gerak!” aku mencuit bahu Adif. Adif segera mencapai dompet dan memasukkannya ke dalam poket seluar jeans berjenama Levis yang dipakainya. Selepas mengunci pintu bilik, kami bergegas turun ke pos pengawal dan menerobos masuk ke dalam perut teksi yang sedia menunggu kami di luar pagar kolej setelah kudail nombor perkhidmatan teksinya sebentar tadi. Teksi itu terus meluncur laju menghala ke Seremban Parade,destinasi yang kami ingin tujui.

* * *

Afifah membuka matanya dan perlahan dia menggenyeh-genyehkan matanya. Bingkas dia bangun dan mengeliat-geliat puas. Dicapai penyepit rambut yang berada di atas meja studinya sambil berjalan menghala ke arah tingkap. Birai satin bertona hijau pucuk pisang itu diselak, terus sahaja cahaya menderu masuk menerjah kamarnya. Pemilik mata yang bundar dan redup itu mengecilkan mata tatkala cahaya menentang tampangnya. Matanya serta-merta terarah ke jam dinding yang bercat hijau pudar itu. Dah pukul 9.00 pagi! Afifah menggaru-garu perlahan kepalanya yang tidak gatal. Astaghfirullah…Afifah, macam mana lah boleh tertidur balik lepas Subuh tadi ni? Habis plan nak kemas bilik! Benar, dia sangat kepenatan malam semalam. Sesampainya di Blok Aisyah jam 10 malam semalam, dia segera memacu langkah ke arah bilik lalu terus menjunamkan tubuhnya di atas tilam. 12 jam perjalanan tren dari Pasir Mas ke Seremban untuk pulang menyambung semula semester yang masih berbaki, cukup untuk membuatkan punggungnya berasa kebas, sementelah pula di dalam tren, hanya MP3 yang menjadi peneman. Solat Subuhnya pagi tadi pun, jika tiada jam penggera berbunyi alamatnya terpaksalah diqadakan.

Afifah tergelak kecil sambil duduk semula di atas katil sambil merenung dua buah beg bagasi dihadapannya. Dua beg besar mahu dipunggah semula. Mak oi, dua beg tu! Buku-buku yang termuat di dalam loker harus dikeluarkan dan disusun semula di atas rak buku. Baju-baju dari dalam beg harus disumbatkan ke dalam loker, kemudian kasut yang berhabuk harus dibersihkan juga lantai harus disapu. Afifah oh Afifah, jadi orang gaji tak bergaji le jawabnya kau hari ni. Batang hidung si Addura ni petang nanti barulah nak timbul.

Haish… apa nak buat dulu ye?Mandi dululah bagi segar badan. Alang- alang, boleh solat sunat Dhuha sekali. Ya Allah… permudahkanlah urusanku.

Bismillahirahmannirrahim… Afifah melangkah keluar dari kamar E008 dan menuju ke bilik air.
______________________________________________________________________________

Aku menutup perlahan buku Longman A-Level Chemistry yang berwarna hijau itu. Aku memicit dahiku perlahan. Berpinau rasanya mataku bergelumang dengan segala formula kimia sejak satu jam setengah tadi. Tajuk Organic Chemistry seolah-olah mencabar kekuatan kantuk tidurku untuk beradu tenaga dengannya.  Ku intai ke katil sebelah, Zulfaqar sedang khusyuk menaip sesuatu. Lab report lagi lah tu…asyik-asyik lab report… kesian aku tengok budak-budak IB ni, diorang ni belajar nak jadi doktor ke nak jadi reporter? Gerutuku di dalam hati. Kulihat pula Adif yang sedang meniarap di atas katilnya. Jarinya sedang aktif menari-nari di atas keyboard komputer riba miliknya.

“ Kau tengah buat lab report ke, Adif? Kan kau dengan Faqar ni stok-stok buat lab report…hehe! Aku tengok budak lain takde pulak nak sibuk-sibuk habiskan kerja. Korang ni spesies skemalah ye?” aku bergurau. Adif mengangkat mukanya yang asyik sedari tadi menghadap skrin laptop, lalu memandang ke arahku. Dia meleretkan senyuman.

 “ Ewah-ewah, bukan main lagi kau kan… stok-stok muka skema buat lab report ni la yang bila kau main DOTA tak pernahnya kau boleh beat tau?” Zulfaqar tiba-tiba bersuara. Pecah berderai tawa Adif sambil mengangkat-angkat keningnya. Tawaku turut pecah bersama gurauan Zulfaqar.

“ Takde la bro, aku tengah betulkan first draft EE aku ni. That day, Madam Julia mintak suruh betulkan sikit. So, aku nak betulkan awal-awal dan aku boleh rileks dah lepas ni.” Adif membalas.

“ EE? Binatang apa tu?”spontan sahaja bahasa Kedahku terkeluar sambil aku mengerutkan dahi. Adif tergelak lagi buat kesekian kalinya.

“ EE tu bukan binatang lah. EE tu Extended Essay. Macam mini tesislah based on subjek yang kau belajar dalam IB ni. Since aku buat subjek Biologi, so aku buat dengan Madam Julia. Alah, kau kan budak MRSM dulu, lebih kurang macam buat projek STEM tu lah,” terang Adif bersungguh-sungguh. Aku pelik. Projek STEM apa pula ni?

“ Setahu aku, masa aku kat MRSM Kubang Pasu dulu aku just buat Projek SEM Type III je. Takde buat projek STEM macam kau cakap tu…” tokokku kemudian.

“ Ha’ah, projek SEM tu lah! Silap! Hehe… maaflah, aku bukan budak MRSM macam kau, so aku tak tahu menahu pun pasal Projek SEM ke, STEM ke. Sebat je yang mana ada,” Adif menepuk dahinya perlahan. Aku tergelak sambil menggeleng-gelengkan kepalaku. Buat lawak betullah roommate aku ni.

 “ Kau buat subjek Biologi, bro? Pergh… mantap juga kau ni. Kalau aku, awal-awal lagi aku dah angkat tangan surrender! Fizik boleh tahan lagi. Kalau Biologi, mintak maaflah. Tak sanggup aku,” kataku kepada Adif. Belum sempat Adif membuka mulut, Zulfaqar membalas.

“ Dah tu, takkan kitorang nak tanya lagi kenapa kau ambil course Engineering kat kolej ni. Kenyataan kau itu sungguh retorik. Ternyata sudah terkandung jawapan dalam kata-katamu itu wahai sahabat… Kalau kau minat Bio, mesti kau dah ambik Biotech macam aku ni…” sengih Zulfaqar separuh berfalsafah. Payahlah kalau cucu sasterawan ni dah buka mulut!

Kata-kata Zulfaqar itu ada benarnya. Bergelar sebagai salah seorang penuntut yang bergelumang dengan ilmu kejuruteraan, aku amat meminati subjek fizik. Subjek  itu, boleh kuibaratkan seperti teman wanita keduaku. Teman wanita pertama? Sudah pastinya, pasukan bola sepak kegemaranku Manchester United! Memiliki seorang girlfriend sewaktu tanggal umurku baru mencecah 20 tahun,ku rasakan begitu awal. Bagiku, with a great knowledge and education,itulah yang mahu kujadikan modal untuk aku mendapatkan seorang suri di hatiku suatu hari nanti. Kini adalah masa yang aku tidak mahu sia-siakan untuk menjana modal-modal tersebut. Tetapi tidak kunafikan, dalam kesibukan dan keghairahanku menuntut ilmu, boleh dikatakan aku lebih relaks jika dibandingkan dengan rakan-rakan sekolejku yang mengikuti kursus kedoktoran mahupun pergigian di bawah program persediaan International Baccalaureate (IB) kerana aku mengikuti program persediaan A-Level Cambridge Programme di kolej ini.


bersambung...

0 comments:

Post a Comment